WAJAH mereka sayu meminta simpati, tatkala tangan dihulur mereka tersenyum penuh mengharap. [/center]
KENANGAN...sempat merakamkan gambar beramai-ramai
WAJAH mereka sayu meminta simpati, tatkala tangan dihulur mereka tersenyum penuh mengharap. Walaupun nasib mereka tidaklah sebaik kanak-kanak di negara ini, ia sebenarnya adalah lebih baik daripada kanak-kanak di negara tanah kelahiran mereka, Myanmar. Riak kegembiraan dapat dilihat pada wajah 60 kanak-kanak pelarian Rohingya Myanmar apabila diraikan dalam suasana penuh meriah di Madrasah Hashimiah, Selayang, Selangor. Mungkin ini kali pertama kanak-kanak berusia empat sehingga 16 tahun ini bergaul dengan abang, kakak, juga pak cik dan mak cik yang boleh dianggap sebagai ibu bapa mereka. Mereka diajak bermain karom, Saidina serta menyelesaikan permainan cantuman gambar diikuti persembahan nasyid.
Peluang yang ada juga digunakan kanak-kanak untuk beramah mesra dengan semua sukarelawan. Selepas penat bermain, mereka dijamu makanan serta dihidangkan kek cawan comel.
Menurut Muhammad Kamarulazizi dari Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia, program membantu kanak-kanak pelarian Rohingya ini adalah satu aktiviti tahunan pihaknya.
Program berkenaan dibantu sukarelawan Muslim Aid,
Halaqah.net, team Shukur.org seramai 30 orang serta tajaan makanan daripada totcupcakes.com. Kebanyakannya kanak-kanak ini yatim, yatim piatu serta masih ada ibu bapa, tetapi hidup dalam kemiskinan. "Pelarian Rohingya ini tidak diiktiraf di negaranya jadi mereka melarikan diri ke Malaysia. "Seramai 60,000 pelarian berdaftar beragama Islam yang ditempatkan di Selayang, Ampang dan Butterworth. Kebanyakan kanak-kanak ini tidak boleh membaca dan menulis," katanya.
ISI PERUT...menjamu selera hasil tajaan pihak yang prihatin.
(bawah) Kanak-kanak Rohingya yang tiada tempat bergantung.
Selain permainan, program bersama anak-anak pelarian Rohingya ini diadakan untuk memberi peluang kepada penderma dan sukarelawan bersama-sama dengan kanak-kanak ini serta berkongsi kegembiraan dengan mereka. Sebelum ini Muslim Aid mengadakan majlis berkhatan, mengajar mereka mengenai aspek kesihatan termasuk jangkitan selesema HINI serta mengedarkan daging korban kepada mereka. Menurut Muhammad, program bermula jam 10 pagi selepas semua sumbangan makanan dibawa ke madrasah. Wakil daripada Muslim Aid dan shukur.org memberi kata-kata aluan sebelum permainan bermula jam 10.30 pagi. Mereka dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu kumpulan di bawah usia 12 tahun bermain cantuman gambar dan kumpulan melebihi usia 13 tahun bermain Saidina, Sahibba dan karom. Jam 12.15 tengah hari, semua sukarelawan dibawa melawat asrama madrasah untuk lebih menyelami keadaan anak-anak yang tinggal di situ. Sebelum menjamu selera, semua jemputan dihiburkan persembahan nasyid oleh anak-anak Rohingya. Selepas program ini, Muslim Aid bercadang mengadakan kelas bahasa Melayu dan bahasa Inggeris kepada mereka. Ini adalah antara program yang boleh membantu meningkatkan penguasaan bahasa kerana sebelum ini masalah komunikasi menjadi halangan utama.
"Selain tumpuan kepada pendidikan kanak-kanak, wanita pula akan diajar menjahit supaya mereka boleh melakukan aktiviti yang mendatangkan faedah kepada diri sendiri.
"Sekurang-kurangnya mereka tidak mengharapkan belas ihsan orang lain," kata Muhammad.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Menaruhharapan/Article